Rinduku pada UTM
March 10, 2009 by waneey
Ramai yang beranggapan tugas guru hanyalah setakat memberi ilmu di bilik darjah. Benarkah anggapan ini? Mungkin dulu aku juga berfikiran sebegitu. Namun tugas guru tak semudah yang aku sangka. Habis sesi pengajaran dan pembelajaran, guru masih di sekolah. Ada yang sibuk bersama pelajar dengan aktiviti ko-kurikulum. Ada pula yang sibuk meeting. Dan ada juga yang sibuk menyemak kerja-kerja pelajar di bilik guru.
Beberapa minggu ni aku sibuk dengan meeting. Kertas jawapan peperiksaan pelajar masih lagi belum aku tanda sepenuhnya. Kertas kerja untuk pengubahsuaian perpustakaan belum lagi aku buat. Yuran pelajar KRS untuk perkhemahan akhir bulan Mac ni belum lagi sepenuhnya dikutip. Hari Khamis ni adalah hari terakhir sebelum pelajar mula bercuti selama seminggu. Kalau diikutkan perancangan aku dengan family, Jumaat tu kami adakan majlis tahlil dan maulidurasul kat rumah kami. Tapi sebentar tadi aku dimaklumkan bahawa aku ditugaskan sebagai ahli jawatan kuasa Kem Kepimpinan sekolah selama 3 hari bermula Khamis ini. Terpaksalah aku korbankan masa cuti.
Berat tugas guru sebenarnya. Bukan hanya di bilik darjah tetapi merangkumi semuanya. Terasa seperti aku kembali mengimbau aktiviti-aktiviti di UTM dulu. Terutamanya ketika aku bersama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor.