Termenung…
April 7, 2009 by waneey
Minggu ni perasaan aku jadi tak menentu. Terfikir-fikir masa depan aku.
Aku tersentak dari lamunan. Kulihat aku masih terduduk di kerusi dan mejaku masih berselerak dengan buku-buku pelajar. Hingar bingar suara cikgu-cikgu di bilik guru tu tidak aku hirau. Penghawa dingin yang tepat berada di tepi dinding berhampiran mejaku menyejukkan keadaan di situ.
Aku sudah mula serasi dengan sekolah ini. Walaupun bermacam-macam dugaan aku lalui sepanjang aku di sini, sekarang aku sudah mula menerima dan lalui semuanya dengan baiknya. Sebak aku rasa bila hari ini aku dengar buah mulut mengatakan pengambilan guru sandaran akan dimansuhkan dan pemberhentian guru sandaran yang sedia ada. Aku sendiri tidak pasti tentang khabar ini di tempat lain. Kalau diikutkan sekarang, guru sangat diperlukan. Tapi entah kenapa itu yang aku dengar hari ini.
Loceng telah berbunyi. Aku melangkah kaki ke kelas. Setelah sampai di kelas aku disambut dengan wajah-wajah ceria pelajar. Sempat aku menatap wajah mereka, sekiranya khabar itu benar, sudah tentu keakraban aku dengan mereka tak kan lama. Aku sudah mula mengerti perangai setiap dari mereka. Mereka bukan di kelas elit yang menjadi kebanggaan sekolah dan guru-guru,tapi mereka di antara kelas yang tercorot. Sudah tentu cara penerimaan ilmu berbeza dari mereka di kelas elit.
Namun khabar yang aku dengar itu masih lagi dalam samar-samar. Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran khabar itu. Tunggu sahaja notis. Sekiranya benar, notis akan keluar selewat-lewatnya akhir bulan ini kerana dari khabar itu juga mengatakan perkhidmatan guru sandaran sehingga akhir bulan ini.